Saturday, July 11, 2009

Hari Raya Aidilfitri pertama di London

Baru kami tahu bahawa rupanya pehak yang menentukan puasa atau hari raya di United Kingdom ialah REGENT MOSQUE. Setelah mendapat kepastian setelah berkali-kali pehak MSD menghubungi Regent Mosque, pada malam hari raya, kami warga MSD dan jemaah-jemaah surau telah berkumpul di Surau Malaysia Hall untuk solat Isyak dan Takbir Hari Raya. Sedih juga rasa-nya berhari raya di negara orang tetapi bila melihat wajah-wajah warga Malaysia dan keluarga mereka yang ada di surau, hilang segala perasaan berjauhan dengan keluarga di tanah air.

Pada pagi Hari Raya, ramailah pelajar-pelajar lelaki dan perempuan serta warga Malaysia yang lain, sudah sampai di Malaysia Hall untuk Solat sunat Hari Raya. Oleh kerana bilangan yang hadir adalah terlalu ramai dan ruangan surau amat terhad, solat dijalankan dua kali. Solat pertama di imamkan Ustaz Anwar dari MSD dan yang kedua oleh pelajar PHD yaitu rakan Ustaz Anwar.

Selesai solat, semua yang hadir telah jamukan dengan jamuan hari raya yang telah disediakan oleh Pegawai-pegawai dan warga MSD bertempat di Kantin Malaysia Hall. Alhamdullillah, walaupun cuaca sejuk dan berjauhan dari keluarga di tanahair, keceriaan dan kemeriahan menyambut Hari Raya dirantauan tetap terpancar dari kesemua yang hadir pada pagi itu. Jamuan yang dihidangkan adalah semua makanan Malaysia yang biasa disajikan dipagi raya.

Pada hari raya pertama, sempatlah kami berhari raya kerumah TYT Pesuruhjaya Tinggi. Kami dibawa oleh Tuan Hj. Yusof dengan keretanya. Terima kasih lah Hj... Baru sebulan bertugas kat London nak pergi mana pun tak tahu. So, lepas tu balik Mews ajelah...

Cuti hari kedua raya pula dihabiskan dengan berjalan-jalan di Oxford Street, Hyde Park dan sekitar Edgware Road kerana Mews kami dekat dengan kawasan tersebut.

Begitulah gayanya raya pertama kali kat negeri orang, saudara mara pun takade, rumah kawan-kawan pun tak tahu mana arahnya, kenderaan pun takade, jadi buatlah apa yang patut untuk mengisi masa.

Dengar lagu ni kejap - Ginny come lately

Lagu inilah jadi pilihan saya semasa pertandingan Talentime Sekolah tahun 1964 dulu. Masa itu saya baru Form 4. Tetapi bila live band dan start, key saya tak masuk-masuk, dah suku lagu baru ngam keynya. Jadi hancurlah harapan nak gi ke pusingan seterusnya.

Friday, July 10, 2009

Boxing Day...hari tinju ke?

25 Disember 2000, kami cuti Krismas. 26 Disember ialah Boxing Day. Dulu masa tak tahu, ingatkan Boxing day ialah hari orang nak bertinju ataupun bergaduh dan bermacam-macam andaian lagi. Rupanya rakan-rakan di MSD beritahu bahawa Boxing Day pada tiap-tiap 26hb Disember ialah hari membuka KOTAK-KOTAK hadiah yang diberikan sebagai hadiah pada hari Krismas.

Puasa di London

Fahmy di Edgware Road

Memang seronok dan tak terasa lapar berpuasa di UK. Apa taknya, cuaca sejuk diantara 4 ke 10 darjah selsius, bersahur jam 3.00 pagi, subuh jam 3.50 pagi dan kadang-kadang minum air panas aje oleh kerana perut masih kenyang kerana jamuan lepas terawih dan berbuka jam 4.30 petang. Jadi jam 4.15 petang balik ke Mews sekejap untuk berbuka bersama-sama keluarga dan lepas tu pergi balik ke pejabat kerana waktu pejabat kat sini mula jam 9 pagi dan tamat jam 5 petang. Waktu lunch ialah dari jam 1 hingga 2 petang. Kerja 5 hari seminggu aje, Sabtu dan Ahad adalah cuti mingguan.
Jadi sementara menanti Isyak dan terawih yang telah di tetapkan jam 8.30 malam walaupun waktu Isyak ketika itu jam 6.00 petang, jadi kami duduk ajelah kat Mews. Puas juga nak sampaikan jam 8.30 malam. Solat Maghrib kat Mews aje.
Bila hari Sabtu dan Ahad, kami pagi-pagi berjalan-jalan kat Edgware Road. Kat sini banyak kedai Pak Arab yang menjual daging halal, barang makanan seperti beras, barang dalam tin dan juga makanan segera seperti Kebab, burger dan Nasi Minyak Arab. Pendek kata, bab makanan halal memang tak susahlah kat London ni.
Walaupun cuaca kat luar sejuk, tetapi dalam rumah biasa aje kerana semua ruang rumah ada Central Heater. Untuk memasak, kami gunakan dapur elektrik yang memang dibekalkan di Mews tersebut.

Wednesday, July 8, 2009

Jadi Imam Terawih

Surau Malaysia Hall

Setelah seminggu berpuasa di London dan menjadi makmum terawih tiap-tiap malam di surau Malaysia Hall, dapatlah rasa sedikit keceriaan apabila dapat berjumpa dengan pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia yang menuntut dan tinggal disekitar kota London. Terasa besar hati dan gembira dapat berkenalan dan berbual-bual dengan mereka. Semakin ramailah kenalan hari demi hari.
Satu hari masih dalam bulan Ramadan (awal Januari 2001), Ustaz Anwar telah meminta saya menjadi Imam menggantikannya kerana beliau ada urusan melawat pelajar diluar kota London. Saya rasa terkejut dan sedikit takut kerana maklumlah inilah pertama kali saya akan menjadi Imam untuk jemaah yang ramai. Hendak tak hendak saya terpaksalah menjadi Imam pada malam tersebut untukIsyak dan Terawih.
Alhamdulillah, saya rasa dapat menjalankan amanah yang diberi dengan sempurna, memandangkan kepada riak wajah makmum saya selepas selesai solat pada malam tersebut.
Selepas solat dan sedikit jamuan kami teruskan ibadah kami dengan Taddarus Al Quran.
Pada masa moreh(jamuan) di Dewan Malaysia Hall, memang jelas kelihatan wajah masing-masing begitu gembira dan seronok kerana selain dapat bertanya khabar antara satu sama lain mereka juga dapat merasa keenakan makanan Malaysia yang dihidangkan.
Tak sangka boleh jadi Imam pula ye....

Sunday, July 5, 2009

Lapur diri

Alhamdullillah, pada hari Isnin 11hb Disember 2000, jam 9 pagi, saya melapurkan diri untuk bertugas di pejabat MSD UK/Eire, di London. Dr. Kamarudin Md Nor adalah Pengarah MSD ketika itu dan beliau pun baru sebulan bertugas di MSD.
Bermulalah detik menjalankan amanah yang dipertanggungjawab kepada saya oleh Jabatan Pengajian Tinggi (dulu dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia), agar menyelesaikan apajua kerja-kerja yang terbengkalai setelah empat tahun ketiadaan personel yang mengendalikan tugas-tugas Kewangan.
Hari pertama telah diperkenalkan kepada semua pegawai-pegawai MSD dan juga 8 kakitangan ambilan tempatan (KAT) yang bertugas disitu. Saya ditempatkan disebuah bilik bersebelahan dengan dua Atase Pendidikan, Encik Halimi dan Ustaz Anwar dan Warden Malaysia Hall, Encik Sakeran Osman (orang Sarawak).
Dan bermulalah kesah kerja dan hidup dikota London...

Wednesday, June 24, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم Sebok sikit hari ini...


Ingat nak sambung cerita selepas hari pertama sampai di London. Tetapi hari ini terpaksa menemani anak saya Fahmy ke Hospital Pakar Puteri, JB untuk medical check up. Dia dapat tawaran melanjutkan pelajarannya ke peringat Ijazah di UITM Shah Alam. Dia kena lapur diri pada 5hb Julai depan. Mudah-mudahan dia berjaya dengan cemerlang kami doakan.